Monday, 18 February 2019

Konflik dalam Proses Penilaian Prestasi





KESAN KONFLIK DALAM PROSES PENILAIAN PRESTASI TERHADAP PRESTASI PEKERJA

Dapatan kajian menunjukkan kesan konflik selepas penilaian prestasi boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu kesan awal dan kesan kemudian.

Kesan Awal Apabila proses penilaian prestasi selesai dilakukan, keputusan penilaian prestasi akan diketahui oleh individu dan bukan dipaparkan kepada umum. Bagi organisasi yang menggunakan sistem secara atas talian, para pekerja boleh menyemak sendiri markah penilaian mereka melalui sistem tersebut. Pemberian markah penilaian ini memberikan kesan emosi kepada para pekerja terutama setelah berlakunya konflik terhadap kaedah yang digunakan untuk menilai prestasi pekerja. Pekerja mendapati ketidakadilan berlaku dalam proses penilaian dan ini memberi kesan kepada emosi mereka. Pekerja menjadi sedih, marah dan juga tertekan apabila merasakan terdapat ketidakadilan dalam penilaian terhadap mereka.

Saya tidak diberitahu di mana kesilapan saya dalam menjalankan tugas seharian. Saya sentiasa siapkan tugasan saya pada masa yang ditetapkan, kadangkala lebih cepat dari tarikh yang ditetapkan. Tetapi saya sangat kecewa apabila markah penilaian saya sama sahaja dengan pekerja yang ada masalah disiplin. Saya sangat kecewa... (A3, BPK)

“Saya sedih dengan proses penilaian yang dijalankan. Saya dapati penilaian dijalankan secara tidak telus dan tidak adil. Mereka yang rapat dengan pengurus sentiasa mendapat markah tinggi walaupun hasil kerja tidak memuaskan dan perlu dibaiki oleh rakan lain. (A4, BPK)

Saya tidak berpuas hati dengan proses penilaian yang dijalankan. Markah saya seolah-olah tiada peningkatan sedangkan hasil kerja saya sentiasa dipuji oleh pelanggan. Ini menunjukkan wujudnya ketidakadilan dalam penilaian prestasi! (A3, BPI)

Apabila melihat paparan markah prestasi saya, saya terus rasa kecewa. Saya tidak menyangka markah sedemikian, saya yakin saya sudah melalukan yang terbaik dalam kerja seharian. Tiada juga sebarang komen dari pengurus yang memberitahu saya sebarang kesilapan dalam kerja saya. (A4, BPI)

Markah saya biasa sahaja. Saya menjangkakan markah penilaian yang lebih tinggi. Saya sentiasa menyumbangkan masa dan tenaga untuk organisasi ini. Agak menyedihkan. (A1, BPI)


Kesan Kemudian Hasil kajian ini mendapati pekerja mengalami emosi yang negatif apabila mendapat keputusan penilaian yang tidak memuaskan hati mereka. Ia mengakibatkan kesedihan dan kekecewaan di kalangan pekerja yang terlibat. Namun, selepas beberapa lama keputusan penilaian tersebut diketahui oleh pekerja, mereka didapati bermotivasi. Ini adalah kerana mereka ingin membuktikan kemampuan diri kepada pengurus mereka dan mahu terus mencuba bagi mendapat markah yang tinggi dan sewajarnya.

Pada saya, penilaian prestasi itu adalah perkara yang penting. Ia menjadi mangkin bagi meningkatkan motivasi kita untuk bekerja dengan lebih baik. Ini kerana akan ada penilaian terhadap hasil kerja. Walaupun penilaian ada kalanya tidak jelas namun ia tidak menghalang kami melakukan yang terbaik dalam tugas yang diberikan. (A5, BPK)

Saya teruskan buat kerja seperti biasa. Ini kerana walau apa pun markah penilaian yang diberi, kerja tetap berjalan seperti biasa. Saya akan cuba melaksanakan tugasan yang diberi dengan lebih baik. Saya harap penilaian bagi masa akan datang akan menyebelahi saya. (A3, BPK)

Apabila markah penilaian saya rendah, saya sentiasa akan cuba memperbaiki mutu kerja saya kerana saya rasa saya perlu menjadi pekerja yang baik untuk tempat kerja saya. Adakalanya rasa sedih terhadap markah yang diterima kerana sudah buat sehabis baik sepanjang tahun namun nampaknya masih ada yang perlu saya perbaiki. (A4, BPK)

Mula-mula melihat markah penilaian prestasi, sememangnya saya terkejut, saya memang rasa tidak adil. Lama kelamaan saya fikir saya perlu teruskan kerja dan cuba tingkatkan hasil kerja saya, saya lebih kerap berhubung dengan pengurus untuk meastikan saya melaksanakan tugas sepertimana yang dia arahkan. (A3, BPI)

Mungkin kerja saya selama ini tidak seperti yang diharapkan walaupun di pihak saya merasakan sudah lengkap. Saya akan berusaha lebih lagi selepas ini bagi memastikan saya akan mencapai tahap yang dikehendaki organisasi. Saya mengharapkan markah yang tinggi supaya dapat kenaikan gaji kelak. (A1, BPI)

Ia meningkatkan motivasi saya untuk melakukan yang terbaik dalam setiap tugasan. Selain mengharapkan mendapat markah yang baik, ia juga akan membantu meningkatkan kecekapan saya dalam bidang tugas saya. Walaupun ada pekerja yang menganggap penilaian yang dilakukan tidak adil, saya percaya sekiranya kita membuat kerja dengan ikhlas, majikan akan menghargai. (A2, BPI)





No comments:

Post a Comment

SEJARAH LAMPAU